Dalam Negara Versi celik dunia akhirat: Didik OKU celik al-Quran

Joined
Jun 28, 2016
Messages
34
Likes
0
Points
6
Offline
#1
NORSHIKIN MOHD SALLEH
12 JULAI 2016

SKUDAI – Pembangunan Al-Quran Braille Elektronik (Al-Quran eBraille) telah membuka satu lebaran baru buat sebahagian daripada 200 juta golongan orang kelainan upaya (OKU) cacat penglihatan di seluruh dunia yang beragama Islam supaya celik al-Quran.
Usaha murni ini telah direalisasikan oleh sekumpulan anak tempatan terdiri daripada tujuh penyelidik Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sejak tahun 2009 lagi.
Ketuanya, Dr Zair Asrar Ahmad berkata, idea untuk menghasilkan Al-Quran eBraille ini dilaksanakan atas kesedaran dan keinsafan untuk memastikan tiada golongan yang keciciran ilmu dalam mempelajari al-Quran.
“Menerusi teknologi ini, ia memudahkan penggunaan, pembacaan, pemahaman, penghayatan dan pengajaran al-Quran untuk golongan cacat penglihatan di mana Al-Quran Braille bercetak telah berjaya diringkaskan sebagai sebuah panel mudah alih mesra pengguna yang pertama seumpamanya di dunia ini.
"Sebelum ini, golongan berkenaan perlu membaca al-Quran melalui proses konvensional menggunakan enam jilid Al-Quran Braille bercetak seberat 10 kilogram untuk mempelajari dan memahami isi kandungannya," katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, penghasilan Al-Quran eBraille ini bukan sesuatu yang mudah kerana kumpulannya tidak terkecuali daripada menempuh cabaran dan kesukaran sepanjang tempoh enam tahun.
Katanya, model berkenaan dibangunkan dari zero dan direalisasikan secara berperingkat melalui penghasilan model serta reka bentuk yang menggabungkan dua elemen utama iaitu perkakasan dan perisian.
“Daripada hasil perbincangan, kami ingin hasilkan sesuatu yang ringan dan mudah dan proses ini dimulakan dengan soal selidik daripada orang cacat penglihatan itu sendiri selama enam bulan termasuk mengadakan bengkel bagi mengetahui warna dan reka bentuk yang diinginkan mereka,"katanya.
“Dari situ kami mempelajari sedikit sebanyak bahawa orang rabun kronik tidak sukakan sesuatu yang bercahaya terlalu terang dan warna yang garang dan kami sentiasa merujuk kepada Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) bagi memastikan alat yang dihasilkan mengikut kehendak dan mesra OKU,” katanya.
Beliau berkata, komitmen tersebut kemudiannya diterjemahkan menerusi Bengkel Percubaan Pertama di Kuala Lumpur selama tiga hari yang disertai oleh 100 peserta di kalangan orang cacat penglihatan itu sendiri.
"Model awal dihasilkan menggunakan kayu di mana sekurang-kurangnya empat versi reka bentuk berbeza diterbitkan berpandukan daripada respons orang awam," katanya.
Carian dana RM1.9 juta
Dr Zair berkata, empat aras pencapaian permulaan telah ditetapkan oleh kumpulannya iaitu menyasarkan kepada profil pembelajaran, struktur program, konsep asas reka bentuk panel dan memorandum persetujuan kerjasama.
"Ia diikuti aras pencapaian kedua dan ketiga iaitu membangunkan spesifikasi keperluan pengguna serta struktur antara muka grafik pengguna dan seterusnya menghasilkan reka bentuk akhir panel eBraille.
“Aras pencapaian keempat dan terakhir ialah prototaip panel eBraille, prototaip perisian pengguna dan maklum balas pengguna terhadap eBraille dan perisian," katanya.
Katanya, bagi menghasilkan prototaip ini mereka memerlukan dana sebanyak RM1.9 juta dan mengambil masa dua tahun bagi merealisasikannya.
"Kos terbesar bagi penghasilan Al-Quran eBraille ini ialah pembelian sel Braille piezoelektrik dari Jerman yang berfungsi untuk mengeluarkan kod dan titik Braille setelah diprogramkan.
"Panel Al-Quran eBraille ini mempunyai 36 karakter huruf yang mirip Al-Quran Braille bercetak, sekali gus memudahkan pengguna yang terbiasa dengan cara konvensional menggunakan panel tersebut," katanya.
Dimanfaatkan lebih 1,000 pelajar
Usaha keras kumpulan penyelidik ini akhirnya dapat dimanfaatkan di empat pusat bagi golongan cacat penglihatan setelah mendapat pembiayaan RM2.5 juta dari Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
“Empat pusat pembelajaran tersebut dibekalkan 11 unit Al-Quran eBraille ini iaitu di Sekolah Menengah Pendidikan Khas (SKPK) Setapak (115 murid), SKPK Pekan Tuaran, Sabah (15 murid), SKPK Alma Pulau Pinang (35 murid) dan Pertis cawangan Kuala Lumpur (1,000 murid).
“Kita juga dapat menyediakan sebuah lagi pusat pembelajaran di SMPK Princess Elizabeth, Johor Bahru hasil sumbangan Majlis Agama Silam Johor (Maij) dan Pertis, Terengganu hasil pembiayaan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (Maidam),” katanya.
Menariknya, alat yang dibangunkan ini boleh digunakan secara persendirian dan mod kluster yang berkeupayaan menyimpan memori terakhir bacaan serta boleh digunakan oleh tenaga pengajar yang tidak mahir untuk mengajar Braille kepada golongan cacat penglihatan.
Satu bagi setiap individu
Peranti Al-Quran eBraille yang bernilai RM20,000 setiap satu ini juga telah dihadiahkan kepada mantan Yang Dipertua Pertis, Zakaria Yahya dan Ketua Unit Penerbitan Pertis, Muhammad Lee Abdullah sebagai tanda menghargai dan mengiktiraf jasa dan sumbangan mereka dalam membantu menjayakan projek tersebut.
“Harapan kami adalah untuk memastikan setiap OKU cacat penglihatan memiliki satu Al-Quran eBraille kerana tiga peratus daripada populasi penduduk di negara ini adalah OKU cacat penglihatan.
“Jika sebelum ini kita terbiasa dengan wakaf Al-Quran konvensional, kita berharap ada pihak-pihak tertentu tampil untuk mewakafkan Al-Quran eBraille ini pula,”katanya.

Didik OKU celik al-Quran - Johor - Sinar Harian






 
Top