Misteri Tragedi makan telur ikan kurau 1974

Offline
#1


Kisah lama yang tak ramai tahu. Lokasi Melaka.

Menurut cerita, si ayah beli telur ikan kat Pasar Melaka untuk makan sekeluarga.

Masa tu Pasar Melaka kat tepi sungai Kampung Jawa tu.

Penjual kata itu telur ikan kurau tapi sebenarnya telur ikan buntal yang beracun.

Menurut kata si ayah... anak-anaknya bergelimpangan di keliling tempat makan sebaik makan telur ikan tu.

Tak terbayangkan sedih dan paniknya si ayah dan ibu masa tu...

Ibu kepada mangsa mengalami kemurungan buat beberapa ketika selepas kejadian tu.


====

Utusan Feb 2009

Mati makan telur ikan buntal

DUNGUN 15 Feb. - Keseronokan lima nelayan menikmati makanan hasil tangkapan mereka di laut bertukar menjadi tragedi apabila salah seorang daripada mereka mati dipercayai selepas memakan telur ikan buntal.


Nordin Sulong, 43, dari Kampung Teluk Bidara, di sini meninggal dunia dalam bot kira-kira pukul 11.15 malam tadi ketika dibawa pulang untuk mendapatkan rawatan.

Empat lagi termasuk seorang anak mangsa, Ahmad Hafiz, 18, dimasukkan ke wad Hospital Dungun kerana mengalami keracunan yang teruk.

Tiga nelayan yang dirawat selain Ahmad Hafiz ialah Khalid Jusoh, 52, Mohd. Azroy Mohd. Ghani, 21 dan Zainuddin Jaafar, 43.

Kejadian berlaku apabila Khalid yang merupakan tukang masak di bot itu dikatakan memasukkan telur ikan buntal itu ke dalam kari yang dimasaknya untuk hidangan tengah hari tanpa menyedari ia beracun.

Khalid ketika ditemui di bilik rawatan hospital itu berkata, kejadian berlaku selepas mereka menikmati juadah hidangan tengah hari semalam.

"Selepas makan, kami semua berehat sambil berbual-bual. Hampir sejam selepas itu, badan saya tiba-tiba rasa kebas dan pening kepala. Saya bertanya dengan rakan yang lain, mereka juga turut merasa sedemikian.

"Makin lama, ia semakin teruk. Nordin yang juga tekong bot kami akhirnya membuat keputusan untuk pulang kira-kira pukul 8.30 malam," katanya.

Khalid memberitahu, ketika dalam perjalanan pulang, hanya dia yang mampu mengemudi bot terbabit kerana rakannya yang lain terbaring sambil menahan kesakitan.

Namun begitu, katanya, dia tidak terlintas bakal berlaku kejadian buruk malah yakin mereka semua akan selamat.

"Sangkaan saya rupa-rupanya meleset. Selang beberapa jam kemudian, Nordin tidak lagi bergerak," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Suprintendan Dahlan Mohd. Noor ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, mangsa dipercayai mati akibat termakan makanan beracun.

"Hasil soal siasat ke atas nelayan yang memasak makanan tengah hari itu mendapati, dia memasukkan beberapa biji telur ikan buntal ke dalam kari masakannya.

"Ketika memasukkan telur ikan tersebut mereka tidak menyedari racun dalam perut ikan itu melalui hempedunya turut termasuk dalam telur ikan terbabit," katanya.

Beliau berkata, jenazah mangsa dituntut oleh keluarganya dan dikebumikan di Kampung Teluk Bidara, di sini. - Utusan