Dalam Negara Skuad Kriket Negara

Offline
#1
PENGURUS pasukan kriket negara, Shanker Retinam mendedahkan, kejayaan memenangi pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) ditujukan kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Semalam, skuad kriket negara berjaya memenangi pingat emas acara 50 overs menewaskan Singapura di Kinrara Oval dengan kelebihan enam wiket yang mana Ahmad Faiz Mohamad Noor muncul sebagai wira selepas berjaya melakukan 105 larian.

Mengulas mengenai kejayaan tersebut, Shanker memberitahu, Khairy sentiasa memberikan perhatian serta mengikuti perkembangan sukan kriket tanah air.

Menurutnya, pasukan kriket telah membuktikan keupayaan untuk membantu kontinjen negara memenangi pingat emas dan bukannya hadir sebagai pasukan pelengkap pada KL2017.

“Kejayaan ini ditujukan kepada Khairy. Beliau sentiasa memberikan sokongan kepada pasukan ini, malah dalam aksi final semalam, (kelmarin) beliau turun memberikan sokongan dan inilah yang membuatkan kami semakin bersemangat.

“Sebelum KL2017 bermula, Khairy telah memberikan kepercayaan kepada kriket dan kami telah membuktikan bahawa pasukan kriket negara bukanlah sekadar pelengkap jadual.

“Secara tidak langsung, saya berharap kejayaan ini dapat membuka mata ramai pihak yang mana pasukan kriket negara sewajarnya mendapat perhatian serius,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Dalam perkembangan sama, Shanker turut mengucapkan terima kasih kepada peminat-peminat yang membanjiri Kinrara Oval memberikan sokongan padu kepada pasukan kebangsaan ketika menewaskan pencabar utama, Singapura.

Jelasnya lagi, kejayaan memenangi pingat emas acara 50 overs akan memberikan lebih motivasi untuk memburu pingat emas kedua acara T20 yang bakal bermula esok.



Artikel Penuh: Kosmo! Online - Sukan
Hakcipta terpelihara