Dalam Negara Running Man sah tamat Februari 2017

Offline
#1




KUALA LUMPUR: Tiada lagi teka-teki apabila SBS selaku penerbit Running Man, mengumumkan produksi popular itu bakal ditamatkan pada Februari depan selepas tujuh tahun bersiaran.


Keputusan itu dibuat selepas pertemuan mengejut antara wakil produksi dan barisan penggerak utama program terbabit, termasuk Kim Jong Kook serta Song Ji Hyo, semalam.

"Semua anggota Running Man dan penerbit mengadakan mesyuarat tergempar di Seoul, hari ini (Jumaat). Kami berkumpul beramai-ramai untuk merungkai segala salah faham yang timbul.

"Selepas berbincang dengan Kim Jong Kook, Song Ji Hyo, anggota lain dan beberapa penerbit, kami memutuskan program ini akan diteruskan sehingga Februari depan. Kami akan melakukan yang terbaik sebelum program itu berakhir sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan penonton," kata wakil penerbit.

Pelbagai spekulasi mula tercetus apabila Kang Gary meninggalkan Running Man, kira-kira dua bulan lalu dengan alasan mahu menumpukan perhatian terhadap kerjaya muzik.

Sejak itu, timbul desas-desas mengatakan langkahnya bakal diikuti beberapa anggota lain. Khabar angin itu menjadi kenyataan apabila agensi pengurusan Jong Kok dan Ji Hyo mengesahkannya.

Mereka bagaimanapun, dikatakan mengundur diri kerana disingkirkan pihak penerbitan tanpa sebarang notis dan hanya mengetahuinya menerusi sumber dalaman.

Tempat mereka digantikan pelawak, Kang Ho Dong, 46.

Enggan terus terheret dalam kontroversi dan berdepan kritikan peminat tegar program itu, Ho Dong membatalkan penyertaannya dalam Running Man yang akan memulakan musim kedua, tahun depan.

Selain Kang Gary, Ji Hyo dan Jong Kook, Running Man yang menjadi program hiburan paling lama disiarkan dalam sejarah televisyen Korea Selatan iaitu sejak Julai 2010 turut ditunjangi Lee Kwang Soo, Haha, Yoo Jae Suk serta Ji Suk Jin. - BHarian