Rumah: Perda guna kaedah bina kemudian jual

zikri

freshman
Joined
Nov 17, 2013
Messages
54
Likes
0
Points
0
Offline
#1
BUTTERWORTH - Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) akan meneruskan kaedah pembinaan 'Bina Kemudian Jual' (BKJ) untuk semua projek perumahan agensi itu pada masa hadapan dalam usaha memastikan nasib pembeli rumah terjamin.

Pengerusinya, Datuk Shabudin Yahaya berkata walaupun pihaknya terpaksa mengeluarkan modal yang besar untuk membina rumah menerusi kaedah BKJ, tetapi ia cukup baik dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pembeli.

Beliau berkata BKJ adalah cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mengatasi masalah pembeli rumah yang tidak siap dan merupakan keprihatinan kerajaan kepada rakyat.
"Sebagai sebuah daripada agensi kerajaan, Perda juga melaksanakan kaedah BKJ itu untuk Taman Pancur Utama Fasa II dan hasilnya cukup baik.

"Jadi, kita bercadang untuk terus guna pakai kaedah ini bagi projek perumahan yang lain," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani pembelian rumah di Taman Pancur Utama Fasa II di sini hari ini.

Sejak Oktober tahun lepas, 140 rumah pelbagai bentuk dibina di Taman Pancur Utama Fasa II di Nibong Tebal itu dan setakat ini 70 peratus pembinaannya sudah siap serta dijangka siap sepenuhnya April 2014.

Sementara itu, Shabudin yang juga anggota Parlimen Tasek Gelugor berkata setelah hampir enam tahun memerintah, kerajaan negeri Pulau Pinang masih gagal menyediakan pembangunan perumahan kos rendah dan sederhana kepada rakyat negeri itu.

Katanya berikutan itu, kerajaan persekutuan menerusi beberapa agensi termasuk Perda terpaksa menggalas tugas membina rumah kos rendah dan sederhana.

Shabudin berkata Perda merancang membina 8,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh empat tahun bagi membolehkan penduduk negeri itu memiliki kediaman sendiri.

Beliau berkata langkah kerajaan negeri yang menentukan premium tanah terlalu tinggi turut menjadi punca harga rumah di Pulau Pinang meningkat naik sejak beberapa tahun ini.

"Sekarang ini ramai orang Pulau Pinang membeli rumah di Sungai Petani dan Kulim di Kedah kerana harga rumah yang semakin mahal di sini (Pulau Pinang) dan kerajaan negeri tidak pernah peduli tentang perkara itu sebaliknya terus menaikkan harga premium tanah," katanya. - Bernama
 
Top