'Rumah kami tiada bilik'

sally

freshman
Joined
Aug 26, 2009
Messages
2,655
Likes
0
Points
36
Offline
#1


HULU TERENGGANU - “Mahu atau tidak saya sekeluarga terpaksa tidur di ruang utama kerana rumah kami tiada bilik.

Sebagai ayah, saya turut dihantui rasa malu apabila kawan anak-anak bertandang tetapi ini saja yang mampu disediakan,” kata Alias Abd Rahman, 45.

Menurut Alias, keadaan rumah didiaminya bersama isteri, Suhaila Mohamad, 35, serta tujuh anak mereka yang masing-masing berumur antara 17 hingga 5 tahun sejak empat tahun lalu hanya sekadar kelihatan seperti sebuah pondok.

“Rumah didirikan atas tanah rizab perkuburan ini dibeli oleh orang tua saya daripada seorang individu selepas pemilik asalnya tidak mahu lagi tinggal sini. Sebelum ni, saya sekeluarga menyewa merata-rata tempat selain terpaksa menumpang rumah keluarga.

“Walaupun saya sedar keadaan rumah ini tak sempurna kerana tiada bilik tidur dan hanya sekadar ada sikit ruang tamu dan dapur, namun saya tiada pilihan lain. Apatah lagi saya hanya lakukan kerja-kerja kampung, pendapatan pula tak menentu,” katanya.

Alias berkata demikian ketika menerima kunjungan Pegawai JKM Daerah Hulu Terengganu, Mohd Fadzli Ismail, di rumahnya di Kampung Baung, dekat sini, semalam.

Hanya berlauk budu, telur

Alias berkata, dia tahu anak-anaknya malu dengan kehidupan mereka memandangkan rumah didiami tidak seperti orang lain.

“Paling menyedihkan apabila malam, kami anak-beranak terpaksa tidur bersesak di ruangan utama rumah kerana itu saja ruang yang ada.

“Kesusahan hidup juga kadang-kala membuatkan kami sekeluarga menjamah makanan sekadar termampu sahaja. Biasanya nasi berlaukkan telur, kicap atau budu sahaja jadi menu utama kami setiap hari. Duit yang ada diutamakan untuk anak-anak sekolah dahulu,” katanya.

Pernah mohon PPRT

Kata Alias, dia pernah beberapa kali membuat permohonan untuk mendapatkan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) daripada pihak berkaitan sejak lebih 10 tahun lalu tetapi sehingga kini masih belum menerima sebarang jawapan.

“Anak-anak semakin membesar, sebagai ketua keluarga sebolehnya saya ingin sediakan rumah yang lebih selesa untuk mereka. Saya benar-benar perlukan rumah dan memandangkan rumah didiami ini atas rizab perkuburan, tak tahu sampai bila dapat tinggal di sini.

“Sekiranya permohonan mendapatkan rumah diluluskan, saya berhajat untuk mendirikannya atas tanah milik ibu yang sudah memberi kebenaran untuk berbuat demikian. Namun, hingga kini saya masih lagi terus menanti dan berharap pihak berkenaan dapat pertimbangkannya,” katanya.

Layak terima bantuan

Sementara itu, Mohd Fadzli berkata, berdasarkan keadaan kehidupan Alias, keluarga berkenaan sebenarnya layak menerima bantuan bulanan JKM, bagaimanapun pihaknya tidak menerima sebarang permohonan berkaitan sebelum ini.

“Hari ini (semalam), melalui kunjungan ini JKM akan meluluskan Bantuan Kanak-kanak (BKK) sebanyak RM450 kepada keluarga ini untuk perbelanjaan sekolah anak-anak mereka iaitu masing-masing tiga orang di sekolah menengah dan rendah serta seorang di tadika.

“BKK ini bagi membantu keluarga ini menguruskan persekolahan dan perbelanjaan anak-anak mereka. Selain itu, kita akan meneliti bantuan lain yang boleh disalurkan selepas ini termasuk dari segi baik pulih rumah didiami sekarang ini.

“Berkaitan permohonan bantuan rumah, JKM akan merujuk perkara ini kepada pihak berkaitan termasuk Pejabat Daerah Hulu Terengganu,” katanya yang turut menyampaikan bantuan segera daripada JKM sebanyak RM300 serta keperluan harian kepada keluarga Alias.
 
Top