- Joined
- Feb 10, 2009
- Messages
- 22,929
- Points
- 38

RAKYAT Malaysia dilaporkan membelanjakan sekitar RM6.8 billion bagi membeli telefon pintar. - UTUSAN ONLINE/AMIN FARIJ HASAN/GAMBAR HIASAN
KUALA LUMPUR 6 Julai - Rakyat negara ini membelanjakan kira-kira RM6.8 bilion untuk membeli telefon pintar tahun lepas, demikian menurut kajian organisasi penyelidikan pemasaran terbesar Jerman, GfK.
Pengarah Urusan GfK Asia Tenggara, Stanley Kee menerusi satu kenyataan memaklumkan, terminal Jualan GfK menunjukkan peningkatan jualan ketara daripada RM5.4 bilion pada 2015, dengan kenaikan terbesar disumbangkan oleh model telefon pintar pertengahan yang berhargadi antara RM900 ke RM1,050.
Beliau berkata, rekod itu dibuat bermula Mac 2016 hingga Februari 2017.
“Telefon pintar berjenama dari China merupakan pemacu utama kepada peningkatan permintaan peranti mudah alih tahun lepas, yang mana juga mencatatkan jumlah tertinggi jenama telefon pintar baharu memasuki pasaran.
“Dengan peningkatan rangkaian mudah alih baru-baru ini, pengguna di negara ini sering menggunakan telefon pintar mereka bagi aktiviti seperti membeli-belah dalam talian, media sosial dan pencarian umum dalam internet,” katanya.
Terminal jualan GfK juga menunjukkan 37 peratus telefon pintar yang dijual di seluruh negara semasa tempoh itu mempunyai skrin bersaiz sekitar 5.01 hingga 5.6 inci, berbanding 21 peratus pada tahun sebelumnya, menjadikan peningkatan saiz skrin sebagai segmen terpantas dalam masa 12 bulan.
Kee berkata, aplikasi membeli-belah juga semakin popular serta turut membuka laluan kepada pembayaran mudah alih.
“Lebih ramai pengguna hari ini menyumbang kepada peningkatan dagangan mudah alih (m-dagang) di Malaysia, membuat bayaran menerusi peranti mudah alih untuk membeli barangan runcit, tiket penerbangan dan perkhidmatan seperti Grab dan Uber,” katanya.
Beliau berkata pada 2016, kajian pengguna Pemantau Pembeli Elektronik GfK yang dilaksanakan di rantau Asia Pasifik, menunjukkan kebanyakan responden Malaysia menentukan harga dan jenama sebagai faktor utama dalam pembelian telefon pintar.
“Memandangkan pengguna Malaysia bergantung kepada harga, kami percaya kategori pertengahan telefon pintar akan terus mendominasi pasaran tahun ini,” katanya. - BERNAMA/Utusan