Pemaju perumahan kaut keuntungan 100 peratus

Joined
Nov 3, 2009
Messages
527
Likes
10
Points
18
Offline
#1
KUCHING: Menteri Perumahan Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, hari ini berkata ada pemaju perumahan mengambil keuntungan berlipat kali ganda sehingga ada yang mencecah 100 peratus.

Beliau berkata, perkara itu berdasarkan pemerhatiannya selepas mengambil kira dakwaan pemaju kononnya mereka menaikkan harga rumah disebabkan kenaikan harga barang binaan.


"Berdasarkan analisis saya harga (barang binaan) memang naik tetapi tidak naik banyak sangat. Kadang kala saya perasan keuntungan yang diraih pemaju (selepas menaikkan harga rumah) hampir 100 peratus," katanya ketika berucap dalam majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2014 Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC), di sini.

Katanya bagi menangani isu itu, pihaknya merancang menggunakan kuasa pembeli iaitu membanjiri pasaran dengan perumahan baharu yang diyakini dapat menurunkan harga kediaman di negeri berkenaan.

Untuk itu katanya, kementerian akan distrukturkan semula bagi mewujudkan sebuah bank tanah yang membolehkan kerajaan menjual rumah pada harga munasabah.

“Sebagai contoh rumah teres dua tingkat boleh dijual bawah RM200,000 berbanding RM300,000 hingga RM500,000 sekarang dan semi D pula antara RM300,000 dan RM350,000 (sekarang RM500,000 hingga RM650,000),” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 11 projek perumahan akan dilaksanakan tahun ini.
Selain itu, beliau berkata, kementeriannya akan mempunyai sebuah unit baharu bagi mengurus pangsapuri, iaitu konsep perumahan baharu yang akan diperkenal dalam usaha memberi lebih pilihan kepada rakyat.

"Ini sebahagian formula selain meminda undang-undang perumahan dan mewujudkan undang-undang baharu. Kita yakin sedikit sebanyak boleh stabilkan harga di pasaran dengan membuat lebih banyak rumah, memperkenal kaedah baru pembinaan rumah, selain membangunkan pangsapuri di bandar," katanya. - BERNAMA
 
Top