Luar Negara Michelle2020: Rakyat US mahu isteri Obama cabar Trump

Offline
#1


WASHINGTON: Pemenang Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump belum lagi mengambil-alih White House secara rasmi, tetapi sudah ada kempen untuk mempromosikan calon baharu bagi mencabar kedudukan beliau.

Rakyat AS mula menggerakkan kempen untuk Michelle Obama, isteri kepada Presiden Barack Obama supaya bertanding dalam pilihan raya tersebut pada 2020, ketika tamat penggal pertama Trump menerajui pentadbiran negara.

Dengan bertemakan, Michelle 2020 Let's Get Moving dan #Michelle2020, kempen itu mula digerakkan dalam laman sosial Twitter dan meraih banyak sokongan daripada rakyat AS.

"Hanya Michelle Obama boleh menyelamatkan kita," kata Karl Neff menerusi kenyataan dalam laman Twitter.

Selain itu, ramai juga pengguna laman sosial itu meletakkan harapan kepada Michelle untuk menjadi Presiden wanita pertama AS selepas Hillary Clinton gagal menterjemahkan impian tersebut.

"Hanya kerana Hillary tidak berjaya menjadi Presiden wanita pertama, tidak bermaksud Michelle boleh berbuat demikian," kata seorang lagi pengguna, Chole.

Trend #Michelle2020 bermula sejak awal Rabu dan ramai pengguna Twitter berkongsikan video inspirasi Wanita Pertama AS itu selain mencipta poster buat beliau.

Harapan rakyat AS terhadap Michelle bukan satu kejutan kerana populariti beliau mencapai 64 peratus, lebih tinggi berbanding Trump dan suaminya sendiri, Obama, berdasarkan tinjauan Gallup baru-baru ini.

Namun usaha terbabit mungkin sukar direalisasikan kerana Obama enggan membenarkan isterinya untuk bertanding sebagai Presiden.

Pada satu majlis di sebuah sekolah tinggi di Baton Rouge dekat Louisiana pada awal Januari ini, seorang tetamu bertanya kepada Obama sama ada beliau akan memberi peluang kepada isterinya untuk menduduki White House.

"Tidak, tidak. Tidak, tidak, tidak, tidak...tidak, tidak," katanya.

"Saya berterus-terang kepada anda, terdapat tiga perkara yang pasti dalam kehidupan ini iaitu kematian, cukai dan Michelle tidak akan bertanding sebagai Presiden," katanya. - MStar