Luar Negara MH370: Kapal mula tinggalkan Lautan Hindi

Offline
#1

KAWASAN pencarian pesawat MH370 di Lautan Hindi.

KUALA LUMPUR: Semua kapal yang terbabit dalam operasi mengesan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang pada 8 Mac 2014, mula meninggalkan zon pencarian hari ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata kerajaan membelanjakan kira-kira RM500 juta bagi misi berkenaan.

Katanya, Malaysia, Australia dan China bersetuju menggantung operasi pencarian di kawasan seluas 120,000 kilometer (km) persegi di Lautan Hindi.

"Penggantungan bermaksud operasi pencarian dihentikan sepenuhnya, namun misi akan disambung semula jika ada petunjuk baharu yang boleh dikaitkan dengan kehilangan pesawat itu.

"Semua kapal yang terbabit dalam misi ini akan mula meninggalkan zon pencarian hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Bersepadu peringkat kebangsaan sempena Tahun Baharu Cina 2017 di sini, hari ini.

Pesawat yang membawa 12 kru dan 227 penumpang itu hilang dari radar ketika dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing pada 8 Mac 2014.

Pada 24 Mac 2014, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengumumkan pesawat MH370 berakhir di Lautan Hindi. - BHarian