Dalam Negara Lelaki tembak jandanya sebelum bunuh diri di Menara Centara

Offline
#1

PEKERJA diarah mengosongkan bangunan selepas kejadian tembak di Menara Centara. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Dua maut dalam kejadian tembak di tingkat 16, Menara Centara, Jalan Chow Kit, kira-kira 3 petang tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintendan Habibi Majinji berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 3 petang sebelum menggerakkan anggota polis ke lokasi kejadian untuk pemeriksaan.

"Hasil siasatan awal mendapati, berlaku kejadian tembak menembak di tingkat 16 bangunan berkenaan membabitkan seorang lelaki dan seorang wanita.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tinjauan Harian Metro di lokasi kejadian mendapati pekerja diminta berkumpul di hadapan menara terbabit selepas menerima arahan untuk mengosongkan bangunan berkenaan. - Metro
 
Offline
#3
Lelaki tembak mati bekas isteri sebelum bunuh diri


MAYAT mangsa dibawa turun oleh polis. FOTO Eizairi Shamsudin

Kuala Lumpur: Lelaki menembak mati bekas isterinya sebelum membunuh diri di tingkat 16, Menara Centara, Jalan Chow Kit di sini, kira-kira 3 petang tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 3.15 petang.

"Siasatan awal mendapati suspek berusia 51 tahun datang ke pejabat bekas isterinya, 46, di tingkat 16 menara berkenaan membawa pistol dan parang pada 2.58 petang.

"Berlaku pertengkaran antara mereka sebelum suspek melepaskan empat das tembakan. Dua tembakan mengenai bahagian belakang dan paha kanan mangsa sebelum lelaki itu menembak diri sendiri di kepala," katanya pada sidang media di lokasi kejadian, hari ini.

Rusdi berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian itu.

"Berdasarkan maklumat awal, suspek dan mangsa sudah bercerai lima tahun lalu dan mempunyai tiga anak hasil perkongsian hidup sebelum ini.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.


[UPDATE] Tembak mati bekas isteri, bunuh diri | Harian Metro