Kursus Pelaburan Emas (SpotGold & Public Gold) @ KLGoldShop.2ya.com

AinKaoruWong

Senior
Joined
Apr 17, 2013
Messages
470
Points
18
Cara Kiraan Zakat Emas

Emas dan perak merupakan logam galian yang berharga kurniaan Allah s.w.t. Ia merupakan hasil bumi yang banyak manfaat kepada manusia dan manusia pula menjadikannya nilai tukaran wang bagi segala sesuatu. Sementara syariat pula mengibaratkan emas dan perak sebagai sesuatu kekayaan alam yang hidup dan berkembang.Dalam hal ini, zakat emas dan perak terbahagi kepada dua perbahasan iaitu atas zat atau ‘ain emas dan perak itu sendiri sama ada dipakai atau disimpan dan perbahasan kedua ialah zakat mata wang kerana sandaran mata wang pada zaman ini asasnya kepada emas.

ZAKAT EMAS DAN PERAK

Zakat diwajibkan ke atas pihak yang memiliki emas dan perak apabila telah sampai nisab dan telah cukup haul setahun.

DALIL WAJIB ZAKAT EMAS DAN PERAK

Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Dan ingatlah orang yang menyimpan emas dan perak, serta tidak membelanjakannya di jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan balasan atau azab seksa yang tidak terperi sakitnya”. (surah at-Taubah 34)

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud :
Tidak ada seseorang yang mempunyai emas dan perak yang tidak menunaikan zakatnya, melainkan pada hari kiamat dijadikan hartanya itu beberapa keping api neraka. Setelah dipanaskan, digosokkan lambung, dahi dan belakangnya. Setiap kali ia sejuk dipanaskan semula pada satu hari yang lamanya 50 ribu tahun sehingga Allah menyelesaikan segala perkara yang berkaitan dengan hambaNya. -Riwayat Muslim-

JENIS EMAS YANG DIWAJIBKAN ZAKAT

EMAS YANG DISIMPAN

Emas yang tidak dipakai bermaksud emas yang tidak digunakan atau dipakai walaupun sekali dalam tempoh setahun. Jika nilai emas yang dipakai menyamai atau melebihi 85 gram (nisab), maka wajib dikeluarkan zakat sebanyak 2.5%. sebagai contoh, jika berat keseluruhan emas yang tidak dipakai itu seberat 90 gram bernilai RM9500 maka zakatnya adalah : RM9500 x 2.5% = RM237.50

EMAS YANG DIPAKAI

Emas sama ada dipakai (sebagai perhiasan) sekali-sekala atau secara berterusan dalam tempoh setahun tidak wajib dikeluarkan zakat ke atasnya. Walau bagaimanapun jika ia melebihi ‘uruf maka wajib dikeluarkan zakat dengan kadar 2.5% atas lebihan dari nilai ‘uruf. Nilai yang diambil kira adalah nilai semasa emas sahaja dan tidak termasuk batu permata atau seumpamanya.
Nilai uruf bagi negeri-negeri di Malaysia.

Berikut adalah nilai uruf bagi negeri-negeri di Malaysia.

Uruf emas bagi negeri Kedah adalah 150 gram.
Uruf emas bagi negeri Perlis adalah 170 gram
Uruf emas bagi negeri Pulau Pinang adalah 165 gram
Uruf emas bagi negeri Melaka adalah RM5000
Uruf emas bagi negeri Johor adalah 850 gram
Uruf emas bagi negeri Sembilan adalah 200 gram
Uruf emas bagi negeri Selangor adalah 800 gram
Uruf emas bagi Wilayah Persekutuan adalah 150 gram
Uruf emas bagi negeri Kelantan : tiada uruf
Uruf emas bagi negeri Terengganu adalah 850 gram
Uruf emas bagi negeri Pahang adalah 200 gram
Uruf emas bagi negeri Perak adalah 500 gram
Uruf emas bagi negeri Sabah adalah RM5000
Uruf emas bagi negeri Sarawak adalah 775 gram

(Sumber: Laporan kajian penetapan uruf emas pakai negeri Pahang Darul Makmur tahun 2008) (klik)

NISAB DAN KADAR ZAKAT EMAS

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud :
“Tiada wajib atas engkau sesuatu (pada emas) sehingga engkau memiliki 20 dinar (85gram). Apabila ada pada engkau 20 dinar dan cukup haul, maka wajiblah zakat padanya 1/2 dinar (2.5%). Maka sekiranya lebih dari 20 dinar, hendaklah dihisab menurut lebihannya itu 2.5% daripada keseluruhannya”. (Riwayat Abu Daud)

Nisab bagi emas ialah 85gm atau 20 miskal / dinar atau 25 mayam.

Apabila seseorang memiliki emas menyamai nisab semasa atau lebih dan telah cukup haul (setahun) ia wajib mengeluarkan zakat. Ulama sepakat mengatakan bahawa emas apabila cukup 20 misqal, maka wajib dikenakan zakat. Kadar zakat ialah rubu’ al ‘usyur iaitu satu perempat puluh (1/40) atau dua setengah peratus (2.5%).

Emas yang disimpan seberat 85gm dan telah mencukupi satu tahun, wajib dikeluarkan zakat sebanyak 2.5 % daripada nilai semasa emas tersebut (termasuk juga emas yang rosak / patah)

Emas yang dipakai tidak diwajibkan zakat kecuali melebihi uruf. Kadar uruf (kebiasaan pemakaian setempat) di Negeri Pahang ialah 200gm. Emas yang dipakai yang melebihi uruf dikenakan zakat sebanyak 2.5 %. (berat yang melebihi uruf sahaja).

CONTOH PENGIRAAN :

(Andaikan nisab semasa 85gm emas adalah RM 8,909.48)

Emas tersimpan seberat 90gm.

1gm emas = (RM 8,909.48 ¸ 85) = RM 104.82

90gm emas = 90gm x RM 104.82 = RM 9,433.80

Zakatnya = RM 9,433.80 X 2.5% = RM 235.85

Emas yang dipakai seberat 300gm.

200gm = uruf pemakaian emas

300-200gm = lebihan daripada uruf = 100gm

100gm emas = 100gm x RM 104.82 = RM 10,482.00

Zakatnya = RM 10,482.00 X 2.5% = RM 262.05
Soalan-soalan lazim yang perlu diketahui mengenai zakat emas:

1. Soalan: Sekiranya saya telah menggadaikan sejumlah emas perhiasan ke dalam skim Ar-Rahn, perlukah saya membayar zakat untuk emas yang digadaikan itu?

Jawapan: Tidak wajib, kerana tidak sempurna milik

2. Soalan: Adakah emas yang disimpan di dalam bank (safe deposit box) perlu dizakatkan?

Jawapan: Ya, wajib dizakatkan dan dikira sebagai emas yang disimpan.

3. Soalan: Saya memiliki beberapa utas rantai emas tetapi saya gadaikan untuk membuat modal perniagaan. Adakah wajib membayar zakat bagi rantai emas yang digadaikan itu?

Jawapan: Tidak wajib dizakatkan kecuali setelah ditebus semula. Kiraan haul bermula pada hari ditebus.

4. Soalan: Ibu saya mempunyai emas yang sudah cukup syarat untuk dizakatkan. Tetapi beliau meninggal dunia sebelum sempat mengeluarkan zakat. Siapakah yang bertanggungjawab membayar zakat tersebut? Daripada sumber mana yang perlu digunakan untuk membayar zakat tersebut?

Jawapan: Waris perlulah melunaskan bayaran zakat tersebut dengan menggunakan duit si mati sebelum harta peninggalannya di faraid.

5. Soalan: Adakah saya wajib membayar zakat emas perhiasan yang telah disimpan dan diwarisi daripada nenek?

Jawapan: Ya, emas perhiasan yang disimpan dan diwarisi wajib dikeluarkan zakat sekiranya cukup syarat.

6. Soalan: Saya ada emas yang dipakai. Ia tidak cukup untuk dikeluarkan zakat. Tetapi jika dicampurkan dengan emas yang digadai, cukup untuk bayar zakat. Persoalannya, wajib kah saya membayar zakat?

Jawapan: Tidak wajib dikenakan zakat kerana tidak cukup nisab dan emas yang digadai tidak sempurna milik.

(sumber: http://web.e-zakat.com.my/baru/organisasi/faq.asp)

p/s: Banyak lagi persoalan zakat yang boleh didapati dengan melawat link diatas.

NISAB DAN KADAR ZAKAT PERAK

Wajib zakat pada perak lima auqiyah ;

[ Satu auqiyah = 40 dirham. ( 5 x 40 = 200 dirham ) ] Ijmak’ ulama’ telah menetapkan nisab perak sebanyak 200 dirham iaitu bersamaan dengan 595 gram.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
“…tidak diwajibkan zakat pada perak jika kurang daripada 5 awsuq.”

(Riwayat Muslim)

Sabda Rasulullah s.a.w lagi yang bermaksud :
“Pada perak (zakatnya) 1/40…” (Riwayat al-Bukhari)

Contoh Pengiraan Zakat Perak :

Andaian 1 gram perak = RM 30.00

Perak yang dimiliki seberat 1,000 gram.

1,000 gram perak (lebihan 405 gm dari nisab)

1,000 x RM 30= RM30,000

Zakat yang dikenakan ialah : RM 30,000 X 2.5% = RM 750.00

Kesimpulan

Saya berharap agar topik kali ini dapat membantu anda dalam menyelesaikan masalah dalam pengiraan zakat emas dan perak kerana zakat ini merupakan perkara yang wajib ditunaikan oleh setiap orang Islam sekiranya cukup syarat…Sebagai pelabur kita inginkan kejayaan di dunia dan juga keberkatan di akhirat

Oleh itu, selamat membuat pelaburan emas dan perak dan semoga berjaya
 

AinKaoruWong

Senior
Joined
Apr 17, 2013
Messages
470
Points
18
BANGI, April 2013 – Malaysia boleh di anggap sebagai sebuah negara yang tidak dibebani dengan masalah inflasi yang ketara, walaupun pernah dilanda inflasi tinggi ekoran krisis matawang Asia pada tahun 1997 dan 1998.

Prof Dr Mansor Jusoh dari Pusat Pengajian Ekonomi, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata Malaysia secara purata mengalami kadar inflasi 3.75 peratus setahun antara 1973 hingga kini, walaupun pernah mencapai kadar tertinggi sehingga 23.9 peratus pada Mac 1974 dan terendah 2.4 peratus pada Julai 2009.

Beliau berkata demikian di Perbincangan Meja Bulat mengenai “Inflasi dan Kesannya Terhadap Dana Simpanan” di sini hari ini. Perbincangan itu dianjurkan FEP.

Dua anggota panel lagi adalah Prof Dr Ahamed Kameel Mydin Meera dari Fakulti Sains Ekonomi and Pengurusan, Jabatan Kewangan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Juzaili bin Lup, Penganalisa Penyelidikan Kanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Prof Madya Dr Sani Ahmad, Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM bertindak sebagai moderator.

Prof Mansor berkata apabila inflasi berlaku jumlah barangan yang boleh dibeli dengan wang yang sama akan berkurangan.

Inflasi adalah suatu fenomena yang biasa dihadapi sesebuah ekonomi yang sedang berkembang. Bagaimana pun inflasi tinggi dianggap sebagai sesuatu yang negatif dan perlu dielak.

Antara matlamat utama dasar kewangan sesebuah negara adalah untuk mengawal inflasi dan menjamin kestabilan harga. Contohnya, mensasarkan inflasi dalam melaksanakan dasar kewangan. Itulah pendekatan yang diambil oleh negara-negara Eropah.

“Kesan inflasi tidak sama kerana terdapat juga golongan yang mendapat manfaat daripadanya misalnya peniaga tetapi rata-rata lebih banyak pihak yang akan mendapat kesan negatif, terutama apabila kadar inflasi melambung tinggi dan meluap,” kata Prof Mansor.

Beliau menerangkan bahawa inflasi hiper boleh menyebabkan masyarakat hilang kepercayaan kepada wang dan boleh mencetuskan kembali sistem barter (pertukaran barang).

Kiranya inflasi hiper berterusan matawang asing boleh mengambil alih matawang tempatan sebagaimana berlaku di Argentina dan boleh membawa kepada ekonomi menjadi lumpuh. Inflasi yang tak dijangkakan boleh pula menjejaskan keputusan pelaburan dan mengakibatkan penurunan pengeluaran barang buatan dari kilang.

Beliau menerangkan bahawa semasa inflasi, nilai benar dana akan merosot. Contohnya dana RM1 juta akan mengalami kemerosotan nilai benar sebanyak 5% dalam setahun jika kadar inflasi tahunan adalah 5%.

Tindakan rasional pelabur adalah mewujudkan fortfolio aset pelbagai terdiri daripada wang seperti deposit tetap di bank, aset kewangan seperti bil perbendaharaan, saham, bon atau atau aset benar seperti hartanah dan emas. Bagaimanapun aset demikian itu juga boleh dipengaruhi inflasi baik dari segi harga mahupun kadar pulangan.

“Tetapi, oleh kerana setiap aset terdedah kepada risiko yang berbeza ekoran ketidakpastian inflasi, perubahan harga dan kadar pulangan akan berbeda-beda mengikut jenis aset,” kata Dr Masor.

Beliau juga menerangkan bahawa semasa inflasi yang meluap, nilai aset seperti hartanah dan emas cenderung untuk meningkat. Ini adalah disebabkan orang ramai menganggap aset seperti emas adalah pelindung nilai yang baik.

Dr. Mansor berkata kecenderungan untuk memilih aset yang bersifat jangka pendek dan aset lindung nilai seperti emas mungkin baik untuk fortfolio pemegang dana. Bagaimanapun, pilihan itu kurang baik untuk ekonomi secara keseluruhan. Tindakan ini boleh menjejaskan penyaluran dana untuk pelaburan fizikal yang lebih produktif.

Prof Madya Dr Ahamed pula telah membincangkan persoalan “Ekonomi Dunia 2012/13 dan Emas”. Dalam keadaan global semasa dengan ekonomi Amerika Syarikat (AS) masih belum pulih di tokok krisis hutang Eropah boleh membawa kepada kemungkinan berlakunya inflasi Global hingga membenam harga hartanah dan membawa kepada kesan limpahannya.

Akibatnya ia boleh memberi kesan domino yang akan berterusan dengan kemungkinan berlakunya peperangan di Timur Tengah yang boleh bertukar menjadi peperangan global.

Dr Ahamed berkata ancaman segera adalah hyperinflation global, kemelesetan ekonomi global, pengangguran, pertelingkahan dan peperangan antara negara. Semua itu boleh membawa kepada penurunan nilai dolar, euro dan kemelesetan ekonomi dunia yang mendadak.

Ekonomi dunia kini yang bergantung kepada Fiat Money, wang yang dicetak tanpa sokongan, akan meleset sebagaimana juga nilainya juga berkurangan. Keadaan demikian mungkin memaksa dunia mengambil jalan keluar dengan menggunakan emas dan perak kembali sebagai mata wang.

Bagaimana pun dengan pengeluaran emas yang terhad ditambah pembelian oleh bank-bank pusat dan permintaan semakin meningkat dari India dan China, dua pengguna terbesar emas, ia berpotensi memacu harganya meningkat sehingga AS$5,000 satu oz.

Laporan Standard Chartered sehingga Jun 2011 meramalkan emas dan perak akan menjadi aset pilihan dalam keadan huru-hara, peperangan dan pergolakan. Kedua-dua logam berharga ini sememangnya telah pun digunakan sebagai matawang dalam sejarah dunia.

Beliau menyorot kepada ramalan pemenang Hadiah Nobel untuk Ekonomi tahun 1999, Robert Alexander Mundell bahawa emas akan muncul kembali dalam sistem kewangan antarabangsa pada abad ke-21. Nampaknya ramalan itu tidak salah kerana berkemungkinan emas kembali digunakan sebagai standard wang dalam tahun ini, kata Dr Ahamed.
 

AinKaoruWong

Senior
Joined
Apr 17, 2013
Messages
470
Points
18
TAHAP TAHAP Trader Berjaya...

Tahap 1 ( Unconscious Incompetence )


Ini merupakan langkah pertama yang anda ambil apabila anda mendengar pelbagai perkara menarik berkenaan forex / fcpo / emas / saham dan bahawa pendapatan seorang trader forex / fcpo / emas / saham mengalahkan pendapatan seorang pengarah syarikat. Bagi anda, apalah susah sangat untuk trade forex / fcpo / emas / saham, ia hanya menentukan harga naik atau turun. Lagi pun ada disediakan akaun demo untuk latihan sebelum memulakan trade sebenar. Lalu tanpa berfikir panjang anda pun mendaftar akaun sebenar dan mendepositkan wang ke akaun tersebut bagi memulakan trading sebenar setelah anda dapati trade di akaun demo anda dapat menghasilkan keuntungan yang berlipat-ganda. Anda mungkin mendapat keuntungan dengan hasil yang menakjubkan di antara100 ke 200 pip per lot sehari,. Anda percaya bahawa dengan hanya berdasarkan 1 indicator saja, atau bahkan hanya dengan gerak-hati anda dapat menghasilkan keuntungan. Namun itu semua hanyalah nasib saja (beginner luck), pasaran akan mengalahkan anda. Tidak ada trader yang berjaya hanya dengan faktor TUAH/LUCK. Kerugian demi kerugian akan mula menghampiri anda, anda akan cuba bertahan, namun kalau sampai margin habis, siapa yang dapat bertahan??. Anda sama sekali tidak menyedari bahawa anda tidak mampu untuk trade forex / fcpo / emas / saham, namun anda tetap mengatakan pada diri anda bahawa yang anda mampu untuk melakukan trading walaupun semua fakta berkata sebaliknya (Persoalannya: Apakah bulan ini profit?, atau Bulan lepas profit?, ataupun Tahun ini profit? ). Anda tetap mengatakan bahawa anda adalah orang yang hebat, orang yang akan mampu mendapatkan kunci kekayaan dari trading. Dan anda tidak menyedari bahwa 90% trader yang gagal juga mempunyai perasaan seperti itu. Anda tidak mempunyai sistem yang lengkap, anda dikuasai oleh emosi anda, anda selalu cuba mengimbangi perasaan anda jika kerugian dengan MARAH pada pasaran, anda selalu mengambil keuntungan dalam jumlah yang kecil atau membiarkan ia berubah dari keuntungan jadi kerugian karena anda dikuasai oleh sifat TAMAK, adakala anda tidak pernah trading karena anda TAKUT. Anda membiarkan diri anda dikuasai oleh emosi sehingga margin equity anda menderita. 90% orang yang trade forex / fcpo / emas / saham hanya sampai pada tahap ini, mereka biasanyakehabisan modal, berhenti trade dan menganggap ini semua hanya mimpi buruk belaka. Sebahagian lagi tetap mencari modal dari rakan-rakan/investor dan trade seperti orang gila. dalam sebulan atau dua bulan margin habis lalu mereka mencari mangsa lagi. Ini akan mewujudkan masalah moral yang teruk. Mereka masih mengaku sebagai trader namun sebenarnya mereka executor. dan biasanya yang moralnya teruk ini dengan senang hati akan mengambil wang dari rakan-rakan dengan menabur pelbagai janji-jani (pulangan lumayan) dan kononnya akan trade sebagai manage fund untuk mereka. Sebahagiannya lagi akan tetap terus seperti biasa dan mengaku trader tetapi tidak pernah trading, mereka biasanya menyalahkan diri mereka sendiri. Hanya waktu yang menentukan segalanya, sampai bila mereka dapat bertahan di tahap ini dan biasanya waktu selalunya menang. Proses ini selalunya dalam lingkungan waktu SEMINGGU hingga SEBULAN 90% traders akan terus gagal dan kekal ditahap ini, hanya 10% dari mereka yang sedar ini akan pindah ke Tahap 2.


Tahap 2 ( Conscious Incompetence )


Di tahap ini anda sedar bahawa anda tidak mampu untuk trading, anda tidak memiliki kemampuan untuk trading yang menghasilkan keuntungan secara konsisten. Dan anda tahu penyelesaiannya, Anda sedar bahawa selama di Tahap 1 fikiran anda dikaburkan oleh emosi anda sehingga anda tidak dapat berfikir secara bernas. Di tahap ini anda akan mencari ‘Holy Grail’ ( sistem yang sempurna/keramat, sistem yang memberikan keuntungan 100% , sistem yang tidak ada kerugian), anda mulai membeli sistem yang ada di internet, anda membaca semua website yang ada tentang trading mulai dari Malaysia hingga ke USA, anda baca semua ebook yang ada, anda praktikkan semua sistem yang anda perolehi, anda dahagakan ilmu seperti seorang pengembara di padang pasir yang dahagakan air minuman. Pada tahap ini anda akan membaca semua perincian tentang sistem automasi trading/indicator, anda akan test semua indicator yang ada di Metatrader, bahkan anda mungkin akan membuat indikator sendiri ( biasanya gabungan 2 atau 3 indicator), anda akan bermain-main dengan Moving Everage, Fibonnacci lines, Pivot Point, Camarilla Pivot, DeMark, Fractal, MACD, DMI. ADX, Bollinger Bands, dan ratusan indicator yang lain. Anda tahu bahawa pasaran terlalu rumit untuk dijangka hanya dengan 1 indicator saja. Anda akan mengabungkan kombinasi ideal dari setiap indicator. Anda tahu keunggulan indicator tersebut dan juga kelemahannya. Anda akan mencuba menanda TOP dan BOTTOM di pasaran dan meneka titik perubahan pergerakan pasaran dengan indicator tersebut. Namum anda dapati yang anda terus gagal walaupun anda rasa yang anda telah melakukan yang terbaik. Anda kini akan cuba bergabung dengan chat room trader dan menanyakan pelbagai pertanyaan di forum-forum kerana bagi anda kalau anda tidak bertanya sekarang maka selamanya anda tidak akan tahu. Anda ingin mengetahui bagaimana trader lain membuat keuntungan walahal anda tidak.. Ketika ini anda akan memikirkan mereka yang mengatakan mendapatkan keuntungan ratusan pip sehari adalah penipu – anda rasa anda tahu semuanya dan telah cuba melakukan apa yang mereka lakukan. Anda akan jadi seperti seorang remaja – trader yang lebih berpengalaman akan menasihati anda supaya mencari guru yang betul dalam menuntut ilmu tetapi anda degil dan memikirkan yang anda tahu apa yang terbaik – anda meneruskan pembelajaran anda melalui bahan2 diinternet dan overtrade akaun anda walaupun semua orang kata anda gila (anda sesat dalam kebijaksanaan anda – overload information). Kini anda akan mempertimbangkan melanggan isyarat berbayar melalui perkhidmatan SMS dan sebagainya – serta termakan janji-janji manis penyedia khidmat pembelajaran forex / fcpo / emas / saham yang menjanjikan pelbagai teknik mudah dan cepat untuk berjaya dalam trading tanpa memikirkan jika benarlah ia semudah yang dinyatakan, sudah semestinya ramai yang menjadi jutawan. Pada akhirnya anda akan mendapatkan 5 hingga 10 sistem yang lengkap dan mencuba mencari sistem mana yang paling sesuai dengan keperibadian/stail anda. Namum di tahap ini anda akan sentiasa kebinggungan kerana mendengar ramai trader yang mendapat keuntungan dari hari ke hari dan anda pula terus kerugian. Ramai trader yang berada ditahap ini lenyap dalam masa sebulan yang pertama dan jika ada yang mampu bertahan untuk mengharunginya berakhir sekitar 3 bulan. Dari 10% trader yang ada di tahap ini, hanya sekitar 7% yang berhasil pindah ke Tahap 3.


Tahap 3 (The EUREKA Moment)


Pada akhir Tahap 2, anda akhirnya menyedari pokok permasalahan bukan terletak di sistem. An da menyedari bahwa anda mampu mendapat keuntungan bahkan jika hanya menggunakan sistem yang mudah seperti Trendline sekali pun tanpa ada indicator lain, jika anda mampu melakukan sedikit kajian melalui pemerhatian yang menyeluruh dan mempelajari pengurusan trading yang baik. Anda mulai membaca buku tentang psikologi trading, dan mengidentifikasikannya pada diri anda dengan karakter yang dijelaskan dalam buku itu. Akhirnya membawa anda ke Tahap 3 iaitu Tahap Pencerahan. Proses pencerahan ini membuat otak anda menyedari satu hal yang penting, di dunia ini tidak ada seorang pun yang mampu meneka secara tepat apa yang akan terjadi pada pasaran 30 detik berikutnya. Apa yang anda perlu hanyalah satu sistem trading yang sesuai dengan stail trade anda serta bimbingan seseorang berkenaan pengurusan trading yang sepatutnya sehingga anda dapat cara bertrading yang betul. Anda mulai menguasai satu sistem trading dan memodifikasinya sehingga sesuai dengan karakter anda, dan mampu memberikan lebih banyak profit dibandingkan sistem yang asli. Anda mulai trading jika anda tahu kemungkinan untuk untung lebih besar daripada untuk rugi, anda hanya trading jika ada signal dari sistem anda, anda selalu menggunakan stoploss, karena anda tahu stoploss adalah risiko bisnes yang ada dalam dunia trading. Ketika stoploss anda kena, anda tidak emosi kerana anda tahu tak seorang pun mampu menjangkakannya, dan itu bukan kesalahan anda. Trading berikutnya akan meningkat peluang keuntungan anda kerana anda tahu sistem anda itu sistem yang menguntungkan secara keseluruhannya. Anda secara tidak langsung menyedari bahawa dalam dunia trading hanya ada satu hal yang penting iaitu konsistensi pada sistem, psikologi trading dan pengurusan wang yang betul. Dan kedisiplinan anda untuk dalam melakukan trading mengurangkan risiko kerugian anda. Anda mempelajari tentang perlunya ada guru/teman yang dapat memberikan anda bimbingan yang baik dan sokongan berterusan serta hal-hal lainnya. Ia mengingatkan anda suatu ketika yang lalu di mana anda diberi nasihat tersebut dari trader yang berpengalaman dan anda memilih untuk mengendahkannya ketika itu. Kini anda tahu kenapa anda hanya perlukan seorang guru yang baik yang dapat memberikan didikan dan bimbingan yang diperlukan untuk berjaya dalam trading dan bukannya seorang super trader yang menjaja kehebatan sistem/strategi beliau. Trader akan mengharungi tahap ini sekitar 6 bulan sebelum akhirnya menerima hakikat sebenar bahawa tidak siapa yang mampu meramalkan pergerakan pasaran. Dari 7% trader yang ada di tahap ini, hanya sekitar 5% yang berhasil maju ke tahap berikutnya.


Tahap 4 ( Conscious Competence )

Sekarang anda hanya trading jika dan hanya jika sistem anda memberi signal. Anda menggunakan stop loss atau cut loss apabila menyedari terdapat signal yang bertentangan kerana anda tahu sistem anda akan lebih banyak memberikan keuntungan daripada kerugian, dan cut loss yang anda lakukan adalah resiko bisnis yaitu max 2% dari account anda. Di tahap ini anda memulai pandai memperingkatkan target keuntungan trade anda dan setelah anda mampu melakukannya secara konsisten selama beberapa minggu, anda meningkatkan target tersebut ke semaksimum yang boleh. Dan hal itu pada akhirnya mampu anda lakukan. Anda memang masih harus kerja keras untuk mendapatkannya, memperbaiki sistem anda (dengan menambah 1 atau 2 indicator yang sesuai bagi menyokong system anda), menguasai emosi anda, dan melaksanakan pengurusan wang yang anda pelajari dan pegang. Anda mulai mendapat pengalaman bertrading sebenar. Tahap ini biasanya berjalan sekitar setahun atau lebih bergantung kepada kemampuan penerimaan seseorang trader itu. Dari 5% trader hanya sekitar 3% yang sanggup maju ke tahap berikutnya.



Tahap 5 ( Unconscious Competence )

Nah! Sekarang anda telah sampai di Tahap 5, ini adalah tahap yang paling diharapkan oleh seluruh trader di dunia ini, di tahap ini anda mampu trading secara rilek, anda telah menguasai semuanya, anda mampu berdansa mengikut rentak pasaran, kemanapun arah market berjalan, anda telah berada di posisi yang benar, jadi anda tinggal melihat keuntungan anda bergerak dari 2 digit ke 3 digit. Inilah tahap puncak bagi seorang trader, inilah tahap Utopia/Optim, anda telah menguasai emosi anda dan kini anda trading dengan account yang terus membesar setiap hari dari keuntungan kumulatif yang anda peroleh. Anda akan jadi bintang di bidang trading, dan orang sekeliling anda akan mendengarkan apa yang anda katakan, anda faham dengan pertanyaan mereka, kerana anda pernah berada diposisi mereka suatu masa dahulu. Anda akan memberikan saranan bagi mereka, namun anda tahu bahwa kebanyakan dari mereka tidak akan mendengarkannya karena mereka masih trader Tahap 1. Anda tidak akan mempunyai masalah kewangan lagi, anda mampu membeli semua benda yang tersedia untuk dijual, anda mampu membeli sebuah pulau dan trading disana asalkan ada jaringan internet, anda mampu pindah ke hotel 5 bintang, dan menjadi penghuni tetap disana. Anda mempunyai penghasilan seperti seorang superstar, anda mampu membuat buku sendiri, anda mampu trading dengan margin yang tanpa batas, dan account anda akan berlipat-ganda dari account awal. Jangka masa untuk sampai ke tahap ini adakalanya bertahun-tahun lamanya. Namum sebenarnya bergantung kepada trader itu sendiri.
 
Top