Kulim dapat persetujuan pemegang saham untuk dinyahsenarai @RM4.10

Joined
Feb 10, 2009
Messages
22,265
Likes
15
Points
38
Offline
#1


Pemegang saham Kulim (Malaysia) Berhad (Kulim) telah meluluskan cadangan Pengurangan Modal Terpilih serta Pembayaran Semula (SCR) oleh Johor Corporation (JCorp) sekali gus membuka jalan bagi penswastaan syarikat minyak sawit pelbagai tersebut.

“Harga tawaran sebanyak RM4.10 adalah berpatutan dan memberi peluang kepada pemegang saham Kulim untuk merealisasikan pelaburan mereka dengan pulangan yang baik,” kata Pengerusi Kulim, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim dalam satu kenyataan di sini hari ini.

AmInvestment Bank Berhad melalui Surat Penasihat Bebas telah mencadangkan agar pemegang saham menyokong Cadangan SCR tersebut.

Saham Kulim telah didagangkan pada harga di antara RM2.46 sehingga RM3.49 sejak setahun lalu sebelum tawaran SCR dibuat.

“Pelupusan New Britain Palm Oil Ltd (“NBPOL”) telah mengurangkan keluasan tanah perladangan milik Kumpulan.

NBPOL telah menyumbang sebanyak lebih kurang 60 peratus kepada jumlah hasil Kumpulan sejak dua tahun lalu.”

Ia merupakan salah satu aset utama yang memacu nilai pasaran saham Kulim,” katanya lagi.

Kumpulan Kulim telah mengembangkan operasi perladangannya ke Indonesia, namun ianya dijangka mengambil masa yang lama sebelum berupaya menyumbang kepada hasil kumpulan berikutan fasa awal yang memerlukan perbelanjaan modal dan operasi tambahan dalam membangunkan tanah ladang.

"Pada masa akan datang, prospek peladangan di Malaysia dijangka kekal mencabar dengan margin keuntungan telah menurun kepada 11 peratus pada 2015 berbanding 29 peratus pada 2011.

Ini disebabkan oleh turun naik harga minyak sawit mentah global setiap tahun,” kata Kamaruzzaman.

Selain itu, bisnes penerokaan minyak oleh Kulim di Indonesia dijangka mengambil masa sebelum mendapat momentum untuk menjadi penyumbang signifikan disebabkan oleh prospek industri minyak dan gas yang lemah.

Berikutan situasi pasaran yang semakin mencabar, JCorp bersama dengan pihak berkepentingan yang secara kolektif memegang kira-kira 59 peratus saham Kulim, telah menyatakan hasrat untuk menswastakan syarikat tersebut menerusi SCR pada November lalu.

Para pemegang saham yang layak akan menerima jumlah pembayaran balik sehingga kira-kira RM2.26 bilion.

Resolusi SCR telah dibentangkan pada EGM dan menerima sokongan kira-kira 99.59 peratus daripada pemegang saham yang hadir.

Mengulas mengenai Mesyuarat Agung Tahunan ke-41 yang diadakan sebelum EGM, Kamaruzzaman berkata, walaupun dalam kemelesetan ekonomi, kumpulan terus mencatatkan peningkatan hasil dan keuntungan operasi.

Diterajui oleh segmen perladangan yang merupakan penyumbang terbesar hasil bagi tahun kewangan 2015, hasil Kumpulan meningkat 34.37 peratus kepada RM1.47 bilion manakala Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) meningkat sebanyak 70.10 peratus kepada RM162.51 juta.

Segmen perladangan Kulim menyumbang sebanyak 52.89 peratus atau RM777.26 juta daripada jumlah hasil kumpulan sementara hasil daripada segmen minyak & gas meningkat lebih dua kali ganda kepada RM582.30 juta, di mana sebahagian besarnya disumbangkan oleh E.A. Technique (M) Berhad (EA Tech).

EA Tech yang juga telah mencatatkan prestasi yang memberangsangkan iaitu keuntungan sebelum cukai sebanyak RM50.76 juta pada 2015.

Manakala bagi segmen minyak & gas di Indonesia, kejatuhan harga minyak telah menyaksikan Kulim Energy Nusantara Sdn Bhd menandatangani perjanjian untuk menyelaraskan harga pembelian saham dalam PT Citra Sarana Energi kepada AS$80 juta, di mana 40 peratus lebih rendah daripada harga asal iaitu AS$133.55 juta.

“Tahun 2015 merupakan tahun yang penuh dengan peristiwa bagi Kumpulan Kulim.

Dengan berlatarbelakangkan kadar pertumbuhan ekonomi yang sederhana menurut Bank Negara Malaysia, kami sedia maklum bahawa faktor-faktor luaran akan terus memberi impak kepada prestasi bisnes dan menjadi cabaran kepada kumpulan untuk mengekalkan momentum pertumbuhan.

Sebagai entiti tersenarai awam, modal yang besar diperlukan untuk mengembangkan bisnes baru dan sedia ada, justeru ia berkemungkinan boleh menggugat kedudukan aliran tunai dan menjejaskan prestasi kumpulan.

Penswastaan akan memberikan kumpulan fleksibiliti dalam membuat keputusan dan bertindak ketika syarikat melaras transformasi bisnes,” katanya lagi.

Langkah penswastaan ini dijangka selesai menjelang suku ketiga 2016.


Kulim dapat persetujuan pemegang saham untuk dinyahsenarai | Malaysia Gazette
 
Top