Dalam Negara Jenazah Syzlin, mangsa keldai dadah di Peru selamat tiba

Net

Staff member
mod
Joined
Feb 10, 2009
Messages
22,929
Points
38

Jenazah Allahyarhamah Shyzlin, tiba di Kompleks Kargo KLIA hari ini untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kebun Teh, Johor. – Foto Bernama


JENAZAH Allahyarham Shyzlin disembahyangkan di Masjid Tun Hussein Onn, Larkin, Johor Bahru. - Foto Hairul Anuar Rahim

JOHOR BAHRU: Jenazah bekas mangsa sindiket dadah antarabangsa, Allahyarham Shyzlin Hathaman, wanita dari Johor yang meninggal dunia di Lima, Peru pada 7 Oktober lalu, selamat tiba di Masjid Tun Hussein Onn, Larkin, di sini.

Jenazah yang tiba pada jam 8.10 malam itu disolatkan oleh lebih 100 jemaah, yang diimamkan oleh imam masjid itu, Muhammad Zubair Zulkafli.

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kebun Teh, dekat sini selepas Solat Isyak.

Ibu saudara kepada Syzlin, Robiah Abdullah, 69 dan juga kakak kandungnya, Rushidah Hattaman, 57, dari Singapura juga hadir menyambut ketibaan jenazah dan dijangka turut serta ke tanah perkuburan bagi urusan pengebumian.

Terdahulu, jenazah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekitar jam 2.30 petang tadi menerusi penerbangan KL809 sebelum menjalani proses dokumentasi selama dua jam di KLIA.

Proses membawa pulang jenazah diuruskan oleh Wisma Putra dan pihak berkuasa di kargo KLIA serta Biro Kebajikan UMNO (BiKUM).

Terdahulu, 11 orang, termasuk Pengerusi Biro Kebajikan Wanita UMNO Bahagian Johor Bahru, Faridah Mustafa, yang mengetuai rombongan, menyambut jenazah Allahyarham Shyzlin di KLIA.

Shyzlin, 43, dianiayai sindiket dadah antarabangsa sehingga dipenjara dan terkandas di Lima sejak lapan tahun lalu.

Wanita itu meninggal dunia di hospital Nacional Dos De Mayo Health Facility selepas dimasukkan ke wad kerana beberapa penyakit, termasuk asma dan kencing manis.

BH pada November tahun lalu menyiarkan laporan eksklusif dari Peru, mengenai rayuan Syzlin dan dua lagi rakyat Malaysia, Nor Suzanna Azmi dan seorang wanita bernama Azimah, untuk membantu membawa mereka pulang.

Shyzlin pernah merengkuk dalam penjara lebih empat tahun kerana menyeludup dadah sebelum ditempatkan di sebuah gereja negara itu, yang menjadi tempat tinggalnya kerana kesihatan terjejas.

Dalam temu bual berkenaan, Shyzlin menitiskan air mata sambil memohon individu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau sesiapa sahaja untuk menghulurkan bantuan supaya beliau dapat menemui semula keluarga yang lama terpisah.

Susulan temu bual itu, BH berjaya mengesan keluarga Shyzlin, yang kemudian bersetuju untuk menerima wanita itu selepas dia dibebaskan daripada hukuman. - BHarian




22 November 2016

Mangsa keldai dadah terkandas di Peru mahu pulang



LIMA (Peru): Seorang wanita rakyat Malaysia yang sudah tujuh tahun terkandas di sini, merayu simpati mana-mana pihak membawanya pulang ke tanah air.


Syzlin Hataman, 42, pernah meringkuk empat tahun dalam penjara atas kesalahan terbabit dalam sindiket keldai dadah antarabangsa.

Selepas itu, dia mendapatkan perlindungan di sebuah gereja di sini, yang menjadi tempat tinggalnya.

Dalam temu bual eksklusif bersama BH semalam, Syzlin yang tidak dapat menahan daripada menitiskan air mata, memohon jasa baik rakyat Malaysia untuk membantu bagi membolehkannya kembali ke tanah air.

"Tidak kiralah individu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau sesiapa saja, saya ingin pulang menemui keluarga yang lama terpisah tanpa khabar berita.

"Saya pernah memohon bantuan Kedutaan Malaysia di sini tetapi pegawai kedutaan memaklumkan tidak membantu dalam urusan pembelian tiket penerbangan pulang ke Malaysia.

"Mereka suruh keluarga atau sesiapa saja yang secara sukarela boleh tolong beli tiket penerbangan untuk pulang ke tanah air.

"Tiket mahal, paling tidak pun dalam RM13,249 (AS$3,000). Keluarga tidak mampu nak beli kerana kami miskin, ayah sudah tiada, cuma ada emak dan adik saja di kampung," katanya di sini, semalam.

Walaupun diberi tempat berlindung dan ada rakyat tempatan menghulurkan bantuan, kerinduan Syzlin terhadap tanah air tercinta sukar dikikis walaupun sudah lama tidak memijak bumi Malaysia.

Menanggung pelbagai penyakit seperti lelah, kencing manis dan bengkak seluruh badan, anak jati Johor Bahru, Johor itu meminta jasa baik semua pihak mendoakan yang terbaik untuk dirinya.

"Manusia bukan sempurna, saya akui saya tidak berfikir panjang. Saya minta kepada Allah jika satu hari nanti ada orang bantu, maka saya amat berbesar hati," katanya yang masih fasih berbahasa Melayu walaupun dicampur dengan bahasa Inggeris.

Pernah bekerja sebagai guru Taska, wanita yang belum berkahwin itu ditahan di Peru pada Mei 2010 kerana membawa dadah seberat 3.83 kilogram dari Istanbul, Turki ke Lima.

Syzlin dikenakan hukuman penjara empat tahun dan denda 5,000 soles (RM6,458.69) bagi kesalahan itu. - BHarian


====

Ahad, 8 Oktober 2017

Hasrat mangsa keldai dadah pulang tak kesampaian


SYZLIN Hataman meninggal dunia di sebuah hospital kerana komplikasi beberapa penyakit selepas dimasukkan ke wad baru-baru ini.

KUALA LUMPUR: Hasrat Syzlin Hataman, mangsa sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang dipenjara dan terkandas di Lima, Peru sejak lapan tahun lalu untuk pulang tidak kesampaian, selepas meninggal dunia di negara itu, pagi ini waktu Malaysia.

Wanita mangsa keldai dadah itu meninggal dunia di sebuah hospital kerana komplikasi beberapa penyakit selepas dimasukkan ke wad baru-baru ini.

Syzlin, 43, berasal dari Johor menghidap beberapa penyakit, termasuk asma dan kencing manis.

Kematiannya dimaklumkan oleh Kedutaan Malaysia di Peru kepada Pengerusi Biro Kebajikan Umno, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah yang juga Ahli Parlimen Lenggong hari ini.

Katanya, kedutaan memaklumkan bahawa Shyzlin kembali ke rahmatullah pada jam 6.50 petang waktu Peru pada 7 Oktober 2017, iaitu jam 7.50 pagi tadi waktu Malaysia.

"Pihak kedutaan sedang melihat beberapa pendekatan untuk uruskan jenazahnya," katanya kepada BH sebentar tadi.

Biro berkenaan sedang dalam proses menguruskan pelbagai keperluan untuk membantu membawa Syzlin dan dua yang lain, iaitu Suzana dan Azimah kembali ke tanah air.

Shamsul juga berkata, beliau dimaklumkan Syzlin dimasukkan ke hospital kerana tekanan darah rendah, selain kadar gula yang rendah.

Pihak hospital pun telah berusaha menstabilkannya tetapi meninggal dunia petang semalam waktu Peru.

"Dia dikatakan tak tenang sejak beberapa minggu lalu selepas menerima perkhabaran ibu angkat yang menjaganya sejak kecil meninggal dunia di Johor," katanya.

BH pada November tahun lalu menyiarkan laporan esklusif dari Peru mengenai rayuan Syzlin, Suzana dan Azimah yang meminta ihsan orang ramai membantu membawa mereka pulang.

Syzlin pernah meringkuk dalam penjara lebih empat tahun kerana menyeludup dadah.

Dia kemudian ditempatkan di sebuah gereja negara itu, yang menjadi tempat tinggalnya kerana kesihatan terjejas.

Dalam temu bual berkenaan, Syzlin menitiskan air mata sambil memohon individu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau sesiapa menghulurkan bantuan supaya dia dapat menemui semula keluarga yang lama terpisah.

Suzana juga terkandas di sana selepas dibebaskan daripada penjara kerana kesalahan yang sama, manakala Azimah yang digunakan oleh sindiket pengedaran dadah ditahan kerana tidak mempunyai permit di negara itu.

Kedua-dua mereka yang telah berkahwin dengan warga tempatan dan mempunyai anak juga merayu bantuan untuk pulang selepas terkandas masing-masing sembilan dan 11 tahun. - BHarian
 
Top