Teknologi HTC U Ultra Dan U Play Dilancarkan – Hadir Dengan Dwi-Skrin Dan Tanpa Bicu Audio

Offline
#1
HTC melancarkan dua peranti terkini mereka di Singapura sebentar tadi. Dua peranti yang dilancarkan ialah HTC U dan U Play dengan rekaan panel belakang berkilat. Ini ialah perubahan besar bagi HTC yang semalam ini menggunakan tubuh aluminium sepenuhnya pada peranti utama mereka. Rekaan “cecair” pada panel belakang ini menggunakan kaca sepenuhnya dan dipadankan dengan kaca hadapan 2.5D.

HTC U Ultra
ialah peranti dengan skrin 5.7″ IPS Super LCD 5 QHD, pemproses Snapdragon 821, RAM sebesar 4 Gigabyte dan storan 64/128 Gigabyte. Peranti ini mempunyai dwi-skrin pada bahagian hadapan seperti yang wujud pada LG V20. Skrin kedua ini boleh digunakan untuk memaparkan notifikasi dan pautan panggilan pantas untuk individu tertentu seperti yang wujud pada sistem Edge Screen peranti Samsung.

Kemampuan kamera ialah kamera utama 12-Megapixel f/1.8 dengan OIS. Kamera hadapan pula adalah lebih besar 16-Megapixel f/1.8 turut dengan sokongan OIS. Ini adalah peningkatan berbanding hanya 5-Megapixel pada HTC 10. Sistem audio HTC 10 digunakan semula dengan satu pembesar suara di bahagian hadapan dan satu pada bahagian bawah. Sistem operasi Android Nougat digunakan bagi memastikan tahap keselamatan tertinggi.



Aneh sekali bateri yang digunakan pada peranti ini hanya sebesar 3000 mAh. Ini adalah amat kecil tetapi terdapat sokongan pengecasan pantas QuickCharge 3.0 melalui port USB. Empat mikrofon berkuasa rendah digunakan pada U Ultra untuk sistem nyahkunci menggunakan suara pengguna. Ia turut digunakan untuk melakukan rakaman audio secara 3D ketika merakam video. HTC U Ultra akan dijual pada Mac hadapan pada harga NT$ 23900 (~RM 3370).



HTC U Play pula dilengkapi skrin 5.2″ IPS LCD HD Penuh, pemproses MediaTek Helio P10, RAM 4 Gigabyte dan storan 32/64 Gigabyte. Dua kamera 16-Megapixel digunakan pada peranti ini. Bateri 2500 mAh disertakan dan ini juga jatuh di bawah kategori saiz yang amat kecil. Seperti U Ultra, peranti ini juga tidak dilengkapi bicu audio 3.5 mm. Tidak seperti U Ultra, U Play masih menggunakan Android Marshmallow. Tarikh dan harga jualan belum diumumkan setakat ini.



Sumber: Amanz