Dalam Negara Formula Khas Diwujudkan Di Sabah

Offline
#1
Isu kekurangan minyak masak di Sabah telah membawa kepada usaha di mana kerajaan bersetuju untuk merangka satu formula baharu bagi menangani masalah minyak masak bersubsidi dan memastikan bekalan bahan asas itu sampai kepada golongan sasar, khususnya B40.

Formula baharu ini juga bertujuan untuk memastikan bekalan kitaran peredaran minyak masak bersubsidi di pasaran tempatan dapat dijalankan secara sistematik.

“Kita sudah berbincang supaya satu formula baharu dibentuk untuk menangani isu sebegini daripada terus berlarutan pada masa hadapan,” kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Jainab Ahmad Ayid

Jainab juga menegaskan berdasarkan tinjauan yang dibuat pihaknya mendapati bahawa bekalan minyak masak adalah mencukupi untuk menampung permintaan pengguna di negeri Sabah.

Sebagai contoh, katanya, kapasiti pengeluaran oleh kilang pembekal kepada lima syarikat (pemborong) di sini mencapai 700 tan metrik sebulan.

Oleh hal demikian, katanya langkah proaktif dan bersepadu perlu dilakukan oleh angensi dan jabatan yang terlibat, termasuklah kerjasama orang ramai dalam mengatasi isu tersebut.

Jainab dalam pada itu menggesa pegawai-pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) supaya sentiasa menjalankan pemeriksaan tanpa memakai uniform.

“Kita mahu isu ini diatasi dengan baik dan amat penting untuk penguat kuasa KPDNKK menjalankan pemeriksaan dan pemantauan bekalan dengan cara sebegini,” katanya.

Mengulas mengenai trend peniaga kecil dan pengusaha restoran yang membeli minyak masak subsidi yang diperuntukan untuk golongan B40, kata Jainab, “Kita mahu pastikan formula baharu yang diwujudkan nanti akan turut melihat perkara ini dan pada masa sama, kita memahami kesukaran perniagaan yang dihadapi peniaga.”
 

Attachments