Dalam Negara Budak maut disembelih ibu sendiri di Jengka

Net

Staff member
mod
Joined
Feb 10, 2009
Messages
22,929
Points
38


KANAK-KANAK lelaki maut selepas dikelar ibunya di FELDA Jengka, dekat Maran, malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Senior Asisten Komisioner Othman Nanyan berkata, suspek dipercayai mengalami halusinasi sebelum mengelar leher anak lelakinya berusia dua tahun itu.

"Berdasarkan siasatan awal, suspek tidak mempunyai masalah atau rekod mengalami gangguan mental. Kami dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira 10 malam tadi oleh kakitangan Hospital Jengka yang menghubungi Balai Polis Bandar Pusat Jengka.

"Sebaik menerima maklumat, sepasukan pegawai dan anggota kami serta dibantu Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikejarkan ke lokasi kejadian iaitu rumah keluarga terbabit bagi tujuan pemeriksaan dan siasatan awal," katanya dalam satu kenyataan media, malam tadi.

Othman berkata, suspek yang juga ibu mangsa berusia 31 tahun sudah ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya, mangsa adalah anak bongsu daripada tiga beradik dan pihak pegawai perubatan mengesahkan punca kematian disebabkan kesan kelar pada bahagian leher.

"Kita juga sudah merekodkan keterangan bapa mangsa dan berdasarkan maklumat diberikan, suspek dikatakan membawa mangsa ke bahagian dapur rumah mereka sebelum mengelar leher mangsa menggunakan pisau.

"Bapa mangsa sempat menolak suspek sebelum membawa mangsa ke Hospital Jengka bagi pemeriksaan.

"Namun, mangsa disahkan sudah meninggal dunia sebaik tiba di hospital terbabit," katanya. - Metro

__________

Ibu baru selesai mengaji

Tindakan seorang ibu mengelar leher anak kandungnya berusia setahun tujuh bulan di FELDA Jengka 13, Maran, Pahang malam tadi dipercayai dilakukan tanpa sedar.


Menurut suaminya, Muhammad Rizal Jusoh, 42 tahun, perbuatan secara tiba-tiba isterinya itu memang tidak langsung diduga.

Jelasnya, ibu kepada tiga anaknya itu ialah seorang yang penyayang dan tidak pernah berkelakuan mengikut emosi.

“Saya kalau marah anak, dia akan marah saya balik, itu sebab saya tak boleh percaya dia mampu berbuat begitu. Kalau dia sedar, dia tak mungkin buat begini sebab saya tahu bagaimana dia jaga anak-anak,” ujarnya.

Semasa kejadian, dia sedang menonton televisyen sambil menjaga anak ketiganya itu yang sedang nyenyak tidur di hadapannya.

Isterinya yang baru selesai mengaji Al-Quran kemudian memberitahu ingin membawa kanak-kanak lelaki itu masuk ke dalam bilik.

“Selepas mereka masuk bilik, saya dengar suara anak merengek lemah dan berasa pelik sedangkan dia sedang tidur. Saya masuk ke dalam bilik dan mendapati dia sedang mengelar leher anak dengan pisau,” katanya.

Muhammad Rizal yang terkejut kemudian menolak suspek namun tidak memberi sebarang respon, seolah-olah tidak sedar.

Mangsa yang berlumuran darah dikejarkan ke Hospital Bandar Pusat Jengka namun disyaki sudah tidak bernyawa sebelum tiba di sana.

Pegawai perubatan selepas itu juga mengesahkan mangsa meninggal dunia.

“Selepas kejadian, dia ada juga bertanya apa yang berlaku dan siapa yang buat semua itu,” katanya lagi.

Tambah Muhammad Rizal, dia juga mendakwa isterinya sering termenung dan kemurungan sejak awal Mei lalu.

Dia juga pernah membawa isterinya untuk berjumpa pakar perubatan Islam kerana bimbang terkena gangguan makhluk halus.

Jenazah kanak-kanak lelaki itu dijangka akan dibedah siasat pada jam 10 pagi ini di Unit Perubatan Forensik hospital berkenaan. - Buletin TV3




 
Top